Thursday, May 31, 2007

Kilauan Ulama'..

Assalamualaikum..
..Dalam kesibukan mencari damai, ombak perjuangan Islam tanah air terus bergelora.. deras.. dan bakal menenggelamkan arus kebatilan yang semakin menggila. Kali ini arjuna membawa anda mengintai keputusan Pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2007/2009 bagi Muktamar ke-48 Pemuda PAS Pusat di Putik, Kota Bharu. Satu keputusan yang mengejutkan bagi diri arjuna. Mengapa?.. Kerana, kalau anda perhatikan, Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat pada kali ini di dominasi oleh ulama'-ulama' muda.
..Satu ketika dulu, para graduan dari Universiti Azhar dan timur tengah pernah di kecam kerana ramai yang lena untuk mewarisi perjuangan.. tika itu, ramai profesional menguasai bahtera juang ini. Ada yang mengeluh dan mencari di mana kilauan ulama'
muda untuk dijadikan benteng kekuatan. Bagi arjuna, mungkin sesi ini akan bermula anjakan baru!.. Larian ulama'-ulama' dalam Dewan Pemuda PAS sesi ini bakal menyalakan obor semangat kepada mereka yang terlena. InsyaAllah, gabungan profesional dan ulama' akan membuahkan kekuatan yang diimpikan. Kekuatan untuk menghancurkan kebatilan. Tahniah kepada para pimpinan baru, dari taklifan Pengerusi Tetap hinggalah Pemeriksa Kira-Kira. Perjuangan ini baru bermula!..



KEPUTUSAN RASMI PEMILIHAN MUKTAMAR DPP KE 48 SESI 07/09

Pengerusi Tetap : Ustaz Misbahul Munir Masduki (MTB)
Timbalan Pengerusi Tetap : Sdr Aris bin Awang

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat: YB Salahudin Ayub (MTB)
Timbalan Ketua : Ustaz Nasarudin Tantawi (MTB)
Naib Ketua : Ustaz Azman Safawi Abdul Rani

Ahli Jawatankuasa
01 Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz ( 212 )
02 Ustaz Riduan Mohamaad Nor (210) -bakal.. erm..
03 YB Mohd Zaki Ibraim ( 208)
04 Ustaz Mohd Nazri Chik (180)
05 Sdr Ahmad Sabki Yusof (163)
06 Ustaz Musoddak Ahmad (153)
07 Ustaz Ahmad Bahaiki Atiqullah ( 140 )
08 Ustaz Kamal Ashari ( 135 )
09 Sdr Arifin Deraman (134)
10 Ustaz Norazli Musa ( 127 )
11 Ustaz Sallehen Mukhyi ( 122)
12 Sdr Zolkharnain Abidin Al-Hafiz ( 97 )

Pemerisa Kira-kira
1. Muzamil Hafiz
2. Jamel Saring

Saturday, May 26, 2007

Catatan Haramain (3) : Makkah Mukarramah

Alhamdulillah, semasa di Makkah juga, arjuna berpeluang menziarahi Jeddah melalui seorang kenalan yang tinggal di sana. Beliau merupakan rakyat Syam yang bermukim di Jeddah. Namanya Ahmad Al Misri. Pertama kali berjumpa, arjuna ingatkan beliau merupakan seorang pekerja biasa memandangkan cara pemakaian beliau yang amat simple tetapi rupa-rupanya beliau mempunyai kilang cenderamata berbentuk makanan serta kopi dan lebih mengejutkan kilang beliau mempunyai cawangan di seluruh Arab Saudi!. Arjuna dan seorang teman dibawa menziarahi rumah beliau di sana. Rumah yang amat mewah dan tidak keterlaluan arjuna katakan sepanjang kami bersama beliau, kami dilayan persis seorang VIP. Bayangkan, kami diberi telefon bimbit untuk menelefon sesiapa sahaja yang kami mahu. Arjuna mengambil kesempatan menelefon famili di Malaysia. Kami ‘dipaksa’ untuk bermalam di rumahnya kerana beliau sudah mengatur beberapa jadual untuk kami. Kami akur bila melihat kesungguhan beliau kerana memang adat orang Syam -amat memuliakan tetamu..!

Pada malamnya, kami dibawa ke satu majlis zikir berbentuk nasyid bersama seorang sheikh yang bernama Ratib Al Hakimi. Beliau dari Syam, berumur lebih 80 tahun dan diperintahkan keluar daripada Syam kerana kelantangannya beliau menyatakan kebenaran. Aduhh..! Yang tak tahannya, arjuna juga ‘dipaksa’ menyumbangkan sebuah nasyid. Nasib baik ingat juga beberapa bait nasyid Arab daripada kumpulan Nadamurni dan Rabbani.. apa yang pasti.. sumbangan tersebut benar-benar sumbang…! :) Astaghfirullah.. Pada pagi esoknya, Ahmad Al Misri membawa kami mengikuti pengajian khusus beliau bersama seorang sheikh yang juga dari Syam dan diperintahkan keluar daripada Syam. Namanya Sheikh Aiman. Saat ini, hormat dan kagum ana kepada insan tawadhu' bernama Ahmad Misri makin bertambah kerana dalam keadaan serba mewah dan kesibukan yang amat, beliau masih lagi memperuntukkan masa untuk belajar.
"Ini jarang berlaku kepada kebanyakan ‘orang-orang kaya’ di Malaysia yang cepat lupa bila Allah kurniakan kekayaan, mereka merasakan kekayaan itu segala-galanya.. sedangkan itu semua hiasan dunia yang fana.. sementara!.."
Marilah sama-sama kita beristighfar!.. Secara ringkasnya, semasa di Jeddah kami juga berpeluang ‘bermain-main air’ di Laut Merah dan meronda sekitar bandar Jeddah yang sebelum ini tidak pernah singgah di kotak minda arjuna. Alhamdulillah. Kami dihantar ke Makkah semula pada keesokkan hari bersama hadiah oleh Ahmad Al Misri yang berupa makanan dan wang tunai… yang jumlahnya membolehkan arjuna membeli sedikit hadiah untuk famili serta menjadi bekalan balik arjuna ke Syam dan dapat belanja beberapa sahabat makan. Alhamdulillah.

Selain itu, arjuna juga berpeluang secara kebetulan berjumpa dengan seorang sheikh yang menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa Sastera Arab Dunia. Namanya beliau, sheikh Dhiauddin As Sobuuni. Pertemuan secara tidak sengaja ini berlaku ketika arjuna dan seorang teman ingin menunaikan solat Maghrib. Arjuna memandang beliau sebelum mengangkat takbiratul ihram.

"Sungguh..! Ketenangan yang singgah dalam jiwa ketika pandangan pertama itu membuatkan arjuna mengambil keputusan untuk menegur beliau usai solat, walaupun arjuna tidak mengenali siapa beliau. Usai solat, beliau berpaling kepada arjuna dan teman serta berkata ;

“ Antuma dari Damsyiq?”.. Kami hairan!.. Bagaimana beliau tahu..?"

.. Ringkasnya, beliau memperkenalkan dirinya dan menawarkan diri untuk mengajar kami pada malam itu, asas Ilmu Nahu dan Balaghah. Bagai tidak percaya..! Arjuna dapat mengaji di Masjidil Haram.. Betapa luasnya ilmuMU ya Allah.. Tidak lupa kami mengambil kesempatan untuk meminta beliau mendoakan kami.. dan yang pasti, pertemuan unik ini akan terpatri di sanubari.. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Setelah hampir 9 hari ini kami di Mekah, musafir ibadat ini sampai ke penghujung. Alhamdulillah. Kalau diikutkan, memang banyak lagi yang arjuna ingin kongsi kan bersama anda semua, tetapi memadailah setakat ini.
"Kesimpulannya, apa yang arjuna perhatikan, kedua – dua bumi keramat ini menjadi saksi sebagai tempat penyatuan umat Islam. Sunni, Syiah, mereka yang berfahaman wahabi dan lain-lain solat dibelakang imam yang sama dan tawaf mengelilingi Kaabah yang sama..!"
* [ Ayah Pin tidak termasuk dalam senarai.. :) ]. Ini yang kita boleh banggakan setakat ini dan kita mendoakan keadaan ini akan berkekalan selama-lamanya kerana kalau kita perhatikan sekarang ini perpecahan di kalangan umat Islam sendiri semakin menjadi-menjadi.
"Ikatan silaturrahim antara umat Islam semakin goyah akibat daripada berbalah mengenai perkara-perkara cabang dan me ‘raja’kan ego yang dibelai dalam hati. Sedangkan Yahudi dan sekutu-sekutunya bergelak tawa dan bertepuk tangan dengan ke ‘tidak cerdik’ kan kita. Ini menuntut kesedaran daripada kita selaku umat Muhammad."
Rasailah, renungilah dan fikirkanlah bagaimana susahnya Rasulullah S.A.W ingin menyatukan umat manusia dahulu, terpaksa berkorban segala-galanya. Bagaimana dengan kita yang menerima Islam dalam keadaan yang serba selesa? Apa pengorbanan kita?.. Ingat, siapa pun kita.. Dato’, Tun’, Menteri dan lain-lain tidak akan terlepas dari soalan-soalan Allah di akhirat kelak. Dunia ini adalah kebun untuk kita bercucuk tanam supaya boleh ambil hasilnya di akhirat. Semai dan bajailah tanaman kita betul-betul kerana kita akan kutip hasilnya nanti!..Ya.. kita.. anda dan arjuna. – salam syifa’..

Catatan Haramain (2) : Makkah Mukarramah

Makkah Mukarramah. Bumi berkat. Perjalanan menaiki bas yang memakan masa selama 4 jam lebih dari Madinah Munawwarah ini amat mendebarkan. Debaran menjadi tetamu Allah! Sudikah diterima menjadi tetamuNYA? Dengan dosa yang menggunung… Ahh..
“Husnu Dzon dengan Allah..”!
Pesanan seorang sheikh kepada arjuna bergentayangan dalam minda. Ingatan yang sentiasa menjadi ubat jiwa. Padang pasir dan cuaca panas yang menghiasi perjalanan amat memboringkan. Namun, padang pasir ini lah yang menjadi saksi laluan penghijrahan Rasulullah S.A.W bersama Saidina Abu Bakar dahulu, cuaca panas inilah yang membakar kulit Baginda dahulu.. Ingat kalam seorang sheikh
“ Andai doa sahaja mampu untuk memberi kemenangan kepada perjuangan Islam, nescaya Rasulullah S.A.W tidak perlu bersusah payah dalam perjuangan menegakkan Islam. Tapi, tidak! Perjuangan Islam menuntut kesakitan, kepayahan dan pelbagai pengorbanan lagi..!”.
Sama-sama kita beristighfar kepada Allah..!

Kami tiba di bumi Makkah Mukarramah pada waktu malam. Pihak rombongan bersepakat untuk menyelesaikan ibadat umrah pada malam itu juga. Jiwa arjuna kembali berdebar, kali bukan debaran kerisauan tetapi debaran tidak sabar! Dari jauh terpancar kilauan cahaya lampu dari Masjidil Haram yang bersinar megah. Di sanalah tersergamnya kiblat muslim yang dinamakan Kaabah. Kami berjalan kaki dari hotel ke Masjidil Haram. Lafaz talbiah dilaungkan beramai-ramai. Berjemaah. Nurani dipaluti rasa kuat. Tenang. Apabila sampai di Masjidil Haram, kami dibawa masuk melalui Pintu Malik Fahd. Salah satu pintu utama di masjid tersebut. Sheikh yang mengiringi kami meminta supaya kami berjalan dengan menundukkan kepala, berpegangan tangan sambil mengucapkan talbiah dan banyak mengingati Allah. Pelbagai rasa berombak dalam jiwa. Bergelora. Mengapa tidak..? Beberapa minit lagi arjuna buat pertama kalinya akan menatap Kaabah, kiblat umat Muhammad seluruh dunia..! Langkahan kami makin perlahan dan kami diminta untuk mengangkat wajah, Ahh.. macam tidak percaya.. tapi inilah hakikatnya.. terasa kerdil dan hinanya diri ini.. di hadapan arjuna sekarang ini adalah Kaabah..! Tiada lafaz kesyukuran yang mampu arjuna gambarkan. MasyaAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

Semasa tawaf, arjuna sering hilang tumpuan bila melalui bahagian penjuru Kaabah di mana tempat diletakkan Hajar Al Aswad. Orang ramai berebut-rebut untuk mencium batu yang datangnya dari syurga itu sehingga berlakunya pergaduhan. Seolah-olah menjadi satu rukun umrah pula untuk menciumnya. Risau juga jika ibadat yang diimpi membuahkan berkat akan bertukar menjadi laknat. Bukankah bergaduh di hadapan Kaabah itu satu perbuatan biadap dan tidak beradab?. Sejurus selepas mengerjakan tawaf, kami terus ke ruang Saie’. Sebelum ini anggapan arjuna bahawa jarak antara Safa dan Marwah tidak lah jauh sangat, rupanya- rupanya.. boleh tahan juga..:). Apepun, Alhamdulillah, kami dapat menyelesaikan ibadat umrah 2 jam selepas itu. Terasa sejuk kepala di sapa angin Makkah. Ya.. sejuk, kerana kepala sudah dilicinkan!..He2.. First time dalam hidup..!
.... bersambung..

Thursday, May 10, 2007

Catatan Haramain (1) : Madinah Munawwarah

Assalamualaikum w.t.h

Alhamdulillah..
Setelah 2 minggu taman dakwah ini ditinggalkan sepi, bermula hari ini dan insyaAllah selagi ilham Ilahi bertamu di minda, taman dakwah ini tetap akan hangat dengan bicara maya yang ber‘akar’kan sebaran ilmu dan dakwah demi Islam tercinta.

Sudah 4 hari arjuna kembali ke bumi Syam. Gembira. Sedih. Bersemangat. Rindu. Tidak percaya. Rasa yang dinamakan perasaan ini bercampur baur. Permusafiran yang turut disertai ‘pakcik-pakcik dan makcik-makcik Arab’ ini walaupun memakan masa hampir 35 jam dengan menaiki sebuah bas memang mencabar dan memenatkan namun ia amat menyeronokkan kerana sepanjang perjalanan, banyak aktiviti yang dijalankan lebih-lebih lagi tazkirah berantai daripada sheikh yang membuatkan jiwa sentiasa dibakar api keinsafan dan rasa tidak sabar-sabar untuk bertamu di Masjidil Haram dan mengucapkan salam kepada Kekasih Allah di Masjid Nabawi. Sungguh..!! Tiada kalam yang boleh arjuna gambarkan di sini betapa indahnya lukisan perasaan di saat bola mata insan kerdil dan hina ini menatap dan menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W dan menghadap Baitullah Al Haram. Kami di jadualkan untuk menziarahi Rasulullah di Madinah Al Munawwarah dahulu selama 4 hari sebelum ke Makkah Al Mukarramah.

Di Masjid Nabawi, selain menziarahi Maqam Rasulullah S.A.W, terdapat satu sudut di dalam kawasan masjid yang menjadi rebutan untuk beribadat iaitu kawasan yang dinamakan RAUDHAH. Kawasan yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai salah satu taman daripada taman-taman syurga. Memang terasa ketenangan beribadat di dalam kawasan yang ditanda dengan karpet putih ini. Ketenangan yang macamana?.. Maaf.. Arjuna tidak dapat gambarkan pada anda..

Di luar kawasan masjid, terdapat perkuburan Baqie’ yang menempatkan maqam isteri-isteri Rasulullah S.A.W, beberapa ahli keluarga Baginda dan para sahabat. Betul.. memang ramai ahli syurga yang bersemadi di perkuburan ini, namun apa yang menyedihkan tiada tanda yang boleh memberitahu kita di manakah kedudukan maqam mereka. Bagaimana untuk kita menziarahi seseorang tanpa mengetahui rumahnya?.. Mungkin salam kita tetap akan sampai melalui cara lain, namun adakah itu adab yang terbaik?.. Sedangkan kita dah berada di kampung halamannya.. Memang, sunnah wajib didaulatkan tetapi jangan diabaikan cara kita membawa ‘orang’ untuk mengikut sunnah itu. Kadang-kadang cara kita membawa orang ke arah kebaikan itu membuatkan orang semakin benci dengan kebaikan tersebut. Siapa yang salah?.. Kebaikan itu tetap kebaikan, tetapi yang perlu diubah cara kita.. diri kita.. Bukankah cara dakwah itu pelbagai?..

Alhamdulillah, di Madinah juga arjuna mempunyai tiga orang sahabat lepasan Maahad Muhammadi Lelaki yang belajar di Universiti Islam Madinah. Sempat juga mereka membawa arjuna menziarahi Universiti kebanggaan rakyat Madinah itu. Kebetulan pada masa tersebut, beberapa orang sahabat arjuna dari Darul Quran, Jakim datang ke Madinah untuk menjalani temuduga untuk menyambung pelajaran ke Universiti tersebut sambil mengerjakan umrah. Dah jadi reunion MML la pulak. Maka ber ‘jejak kasih’ lah kami kat sana. Bercakap tentang Universiti Islam Madinah, apa yang mengejutkan, hanya terdapat 30 peratus sahaja rakyat Madinah yang belajar di Universiti tersebut dan selebihnya adalah rakyat asing. Pada awalnya, arjuna gambarkan universiti tersebut sama sahaja dengan keadaan universiti –universiti di Syam ini, namun gambaran itu jauh meleset!.
Boleh dikatakan universiti tersebut bertaraf antarabangsa dengan kemudahan yang canggih dan moden. Bilik tidur pun ada aircond.! Dan sahabat arjuna itu boleh belajar dengan tenang tanpa memikirkan masalah kewangan kerana setiap bulan akaun banknya akan diisi hampir 800 Riyal Saudi! Kita tinggalkan sekejap manhaj yang dibawa oleh universiti ini tetapi kita bandingkan kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan universiti-universiti di Malaysia. Setahu arjuna, tidak ada lagi universiti-universiti di Malaysia yang menyediakan kemudahan seperti ini. Kalau ada pun, mungkin sikit. Sedangkan yuran pengajian di universiti-universiti Malaysia semakin meningkat, syarat pinjaman wang semakin diperketat, kebebasan bersuara untuk mahasiswa disekat, program-program kerohanian boleh dikira dengan jari kalau dibandingkan dengan program-program maksiat dan banyak lagi kelemahan-kelemahan yang perlu kerajaan Islam Had hari perbaiki untuk memastikan universiti-universiti di Malaysia bukan hanya gah dari sudut kuantiti tetapi terbukti hebat dari sudut kualiti.

Di Madinah juga arjuna sempat menziarahi beberapa tempat bersejarah dalam taqwim Islam seperti Bukit Uhud yang di sana terdapat makam Saidina Hamzah RadhiallaHu’ahu dan para syuhada’ RadhiallaHu’ahum dalam peperangan Uhud. Melihat kepada Bukit Uhud ini arjuna terasa kerdil sekali bila memikirkan pengorbanan diri sendiri untuk Islam kalau nak dibandingkan pengorbanan Rasulullah S.A.W dan para sahabat RadhiallaHu’ahum dalam usaha untuk mengembangkan dakwah agama yang Haq ini. Keadaan bukit yang berbatu, cuaca panas terik yang membakar minda dan jiwa, kemudahan air yang amat terhad, terpaksa menahan lapar dan dahaga dan banyak lagi pengorbanan mereka yang mungkin kita tidak mampu lakukan sekarang ini walaupun berada dalam keadaan yang serba selesa. Ini semua adalah bukti dan jawapan kepada kita sebagai umat Islam bahawa menyambung rantaian dakwah Islam ini adalah satu kewajipan! Usah mencari alasan, usah memberi rungutan kepada pengorbanan tenaga yang dicurahkan, usah dibangkitkan akan kekurangan harta yang telah dikeluarkan kerana semua ini tidak dapat dibandingkan dengan semua pengorbanan yang mereka berikan, hanya untuk Islam!.

Selain itu arjuna juga berkesempatan menziarahi Masjid Quba’ yang Rasulullah S.A.W pernah bersabda : Jika seseorang itu berwudhuk di rumahnya dan datang ke Masjid Quba’ kemudian mendirikan solat dua rakaat maka pahalanya seperti mengerjakan haji kecil (umrah). – aw kama qaal-. Selain Masjid Quba’, Masjid Qiblatain juga mempunyai sejarah tersendiri yang mana masjid ini mempunyai dua Mihrab. Satu menghadap ke arah Masjidil Aqsa dan satu lagi ke arah Masjidil Haram. Mengikut sejarah, Rasulullah S.A.W mendapat wahyu untuk menukar arah kiblat daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram semasa sedang solat di dalam masjid ini.

Masa 4 hari berada di Madinah terasa amat singkat. Keseronokan menikmati ketenangan mencuci hati dan berenang di dalam tasik indah di hamparan RAUDHAH membuatkan minda terlupa saat untuk wada’ dengan Habibullah sudah tiba. Usah ditanya perasaan ketika wada’ dengan Baginda. Berselawatlah ke atas nabi..! Usai wada’, satu lagi yang arjuna anggap sebagai hadiah daripada Allah taala, iaitu dapat berjumpa dan menziarahi seorang Sheikh yang boleh dikatakan masyhur di Syam tetapi diperintahkan keluar daripada Syam kerana kelantangannya beliau menyatakan kebenaran. Biasalah, sunnah pejuang..! Beliau ialah Sheikh Muhammad ‘Awadh. Pertemuan secara kebetulan di Masjid Nabawi itu tidak akan arjuna lupakan. Kerana apa?.. Bukan kah mendapat doa daripada seorang ulama’ di Masjid Nabawi itu satu memori indah?..
… bersambung..